Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Safawi Pekakkan Telinga, Tak Layan Kritikan

Penyerang muda negara, Safawi Rasid tidak terganggu dengan kritikan oleh segelintir peminat.

Malah beliau tetap bermotivasi dan bersedia untuk membantu skuad negara bagi menghadapi Thailand pada perlawanan kedua separuh akhir di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.

“Bagi saya benda itu (kritikan) tak ada masalah dan saya juga tidak kecewa. Bagi saya, itu motivasi untuk tingkatkan  permainan lepas ini terutama dari segi penyudah,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Safawi yang dikritik peminat selepas gagal menjaringkan gol pada perlawanan pertama separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu memiliki sekurang-kurangnya tiga peluang untuk meledak tetapi nasib tidak menyebelahi anak muda ini.

“Saya sebelum ini sudah banyak buat latihan tambahan dengan menekankan aspek rembatan dan sepakan percuma. Mungkin rezeki belum ada lagi.

“Mungkin juga rezeki saya hadir pada 5 haribulan nanti (menentang Thailand). Mungkin dapat jaringkan gol dan masuk final,” katanya kepada Berita Harian.

Skuad negara bakal menghadapi misi sukar Sabtu ini apabila akan bermain dihadapan penyokong Thailand.