Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Akram Yakin Ramuan Tan Cheng Hoe

Akram Mahinan yakin Tan Cheng Hoe mempunyai ramuan untuk membawa Malaysia dalam keadaan selesa pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Beliau yang pernah beraksi bersama Tan Cheng Hoe sewaktu di Kedah mengakui bahawa pengendali negara itu mempunyai sentuhan ajaib dalam memastikan kemenangan pasukan dapat dicapai dan beliau mengharapkan sentuhan ajaib itu dapat digunakan bersama Harimau Malaya.

Justeru, Akram berharap Tan Cheng Hoe dapat menggunakan segala ilmu dan pengetahuan yang beliau ada untuk memastikan skuad negara membawa bekalan yang selesa menjelang perlawanan separuh akhir kedua nanti.

“Ia, saya sudah lama mengenali jurulatih sejak di Kedah lagi. 

“Saya tahu beliau mempunyai sentuhan istimewa yang boleh menyusun strategi terbaik bagi menghadapi aksi menentang Thailand nanti.

“Kita akan mengintai dan mencari kelemahan lawan untuk mendapatkan hasil yang terbaik. 

Saya harap kami mampu melakar satu lagi kejutan untuk menang selepas menang dengan Myanmar,” kata Akram kepada Berita Harian.

Untuk rekod, Akram adalah pemain yang banyak membuat hantaran tepat pada peringkat kumpulan dengan 252 hantaran tepat yang berjaya dilakukan oleh beliau. 

Beliau akan diturunkan bagi mengemudi jentera tengah negara pada perlawanan bertemu Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.