Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Malaysia, Myanmar Dalam Misi Hidup Mati

Ia perlawanan hidup mati bagi kedua-dua pasukan apabila Malaysia turun dengan misi mahu memburu kemenangan ke atas Myanmar yang hanya memerlukan seri untuk ke peringkat seterusnya pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Manakala Vietnam yang berkongsi mata dengan Myanmar bakal melayan kunjungan Kemboja di Hanoi dan menjadi pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut.

Tan Cheng Hoe memberi tahu media bahawa perlawanan ini adalah perlawanan penting yang mempertemukan seteru ASEAN dan beliau tidak akan mengambil mudah pada perlawanan ini nanti kerana percaya Myanmar adalah pasukan yang mampu untuk mencipta kejutan.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sangat penting dan kami memerlukan tiga mata, tetapi kami perlu menghormati lawan kerana Myanmar bermain dengan baik, jadi ia tidak akan menjadi permainan yang mudah,” kata jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe. 

“Sebagai jurulatih, saya mahu pemain saya fokus sepenuhnya apabila mereka keluar ke padang kerana pada saat-saat genting begini kesilapan boleh berlaku. Saya yakin bermain di laman sendiri boleh memberi motivasi yang baik untuk kami.

Pengendali Harimau Malaya ini juga menegaskan bahawa kekalahan dengan Vietnam adalah satu pengajaran buat pasukan negara dan pemain negara perlu kekal fokus dengan sistem yang telah beliau terapkan.

“Kami tewas 2-0 ke atas Vietnam tetapi kami perlu berpegang pada falsafah kami dan percaya dengan cara kami bermain. Myanmar akan mempunyai strategi untuk bermain secara counter-attack, jadi kami perlu lebih berhati-hati dalam bertahan mahupun menyerang.”

 

Myanmar yang tidak pernah tewas pada kejohanan kali ini berjaya mengalahkan Kemboja dan Loas serta mengikat Vietnam seri tanpa jaringan di Yangon.

Keputusan seri dengan Vietnam memberi satu petanda buat semua pasukan bahawa Myanmar bukanlah sebuah pasukan yang sering dijinak lawan tetapi sebuah pasukan yang perlu diambil peduli kerana mereka mampu mengejutkan pasukan lawan dengan kemampuan mereka.

Tetapi bagi jurulatih mereka, Antoine Hey berharap agar pasukannya tidak mengambil jalan susah kerana cabaran masih terbuka untuk ketiga-tiga pasukan – Vietnam, Malaysia dan Myanmar – layak ke peringkat seterusnya.

“Kami datang sebagai skuad yang tiada kecederaan dan tiada penggantungan, jadi semua pemain sangat bermotivasi dan bersedia untuk bermain. Persedian kami tidak boleh menunggu pada hari perlawanan bermula dan kami berharap agar stadium penuh dengan suasana yang hebat,” kata Hey.

“Daripada skuad 23-pemain kami, 20 pemain sudah beraksi, jadi kami telah menyesuaikan diri dengan barisan kami agar kami mempunyai pemain yang cergas dan pilihan yang bagus di bangku simpanan. Kami tahu mereka perlu menang dan kami memerlukan satu mata , tetapi tiada pasukan yang masuk ke dalam pertandingan ini dan berharapkan tuah.

“Kami telah menyaksikan tiga perlawanan mereka dan telah melihat mereka mempunyai banyak memegang bola ketika berhadapan Vietnam, tetapi mereka melepaskan dua gol dan tidak banyak membuat peluang.”