Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Akram Mahinan Mahu Tutup Mulut Pengkritik

Akram Mahinan menjadi mangsa kecaman peminat bolasepak negara sejak dipilih oleh Tan Cheng Hoe untuk mengemudi bahagian tengah Malaysia. 

Beliau yang diberi tugas sebagai pemain tengah bertahan oleh Tan Cheng Hoe menerima kecaman daripada netizen apabila ramai yang mengatakan bahawa beliau tidak kreatif dan malas walaupun beraksi cemerlang pada tiga perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018.

Rata-rata peminat bola sepak negara tidak faham bahawa fungsi Akram Mahinan adalah sebagai pemain tengah bertahan dimana tugas beliau adalah dengan membantu pertahanan negara.

Bagi beliau, peminat bola sepak negara boleh mengatakan apa yang mereka mahu.

“Mereka boleh katakan apa sahaja yang mereka mahukan, saya tidak ada masalah dengan itu.

“Gol kedua ketika menentang Vietnam itu adalah kesilapan di bahagian tengah dan kami dihukum. Jadi untuk aksi seterusnya bertemu Myanmar, kami perlu menumpukan perhatian bagi memastikan perkara sama tidak berulang.” Katanya kepada Berita Harian.

Akram Mahinan adalah pemain yang pernah bermain dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe sewaktu pengendali negara itu menjadi jurulatih Kedah sebelum beliau ditawarkan jawatan sebagai jurulatih negara setelah berjaya membawa kedah memenangi pelbagai gelaran ; Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Pemain berusia 25 tahun ini juga mempunyai fungsi yang sama ketika bermain untuk Kedah, dimana beliau sering diletakkan pada sistem yang sama iaitu membantu pertahanan negara serta menggemudi jentera tengah. 

Apa yang menjadi perbezaan adalah, di Kedah, Akram dibantu oleh Liridon Krasniqi yang berfungsi sebagai pemain tengah Box To Box. Kualiti Liridon dalam menyerang dan bertahan serta bentuk fizikal yang baik menjadikan beliau seorang pemain tengah yang baik. Tetapi sebaliknya pada skuad negara apabila tiada pemain tengah yang kreatif dalam menyempurnakan beberapa hantaran menjadi peluang.

Akram juga menyatakan bahawa pasukan sudah menunjukkan prestasi yang baik sewaktu menentang Vietnam tetapi perlu memperkemaskan lagi permainan mereka.

“Pada pandangan saya, pasukan sudah menunjukkan peningkatan khususnya pada aksi bertemu Vietnam tetapi kita perlu memperkemas lagi gerakan terutamanya ketika menembusi kawasan lawan untuk menjaringkan gol.”

Beliau juga berazam akan bekerja lebih keras dalam membantu pasukan dalam menyerang mahupun bertahan ketika menerima asakan daripada pihak lawan.

“Saya masih perlu bekerja keras untuk membantu pertahanan pasukan dan menghentikan serangan balas pantas lawan.

“Masih ada banyak peningkatan yang perlu ditunjukkan dan ia masih belum cukup untuk membawa kami ke final. Saya perlu lebih bersungguh-sungguh,” katanya kepada Berita Harian.