Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Tan Cheng Hoe Percaya Kemampuan Sumareh

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe percaya pada kemampuan pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh, biarpun beliau kelihatan bergelut untuk mencari rentak permainan ketika diturunkan pada perlawanan bertemu Kemboja dan Vietnam.

Justeru dengan itu, Cheng Hoe berharap Sumareh akan menemui sentuhan ketika Malaysia bertemu dengan Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A yang akan berlangsung di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bagi beliau, Sumareh adalah pemain yang mempunyai kemampuan untuk mengucar kacirkan pemain pertahanan lawan.

“Kita dapat lihat ketika dia beraksi bersama Pahang di Liga Super di mana dia mempunyai kemahiran tinggi menerusi larian di sebelah tepi bagi membuka ruang buat penyerang menjaringkan gol.

“Saya percaya dia boleh membantu pasukan dengan aksi sama, cuma dia perlukan masa lagi.

“Saya akan terus berikan peluang kepadanya dan berharap dia akan menjadi ketika bertemu Myanmar nanti bagi mengucar-ngacirkan pertahanan lawan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Padang Latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Sumareh yang diturunkan ketika bertemu Kemboja dilihat tidak bermain pada prestasi sebenar apabila dilihat bergelut untuk melepasi pertahanan lawan, sebaliknya Norshahrul Idlan Talaha muncul sebagai wira negara pada perlawanan tersebut.

Malaysia berhadapan misi sukar apabila perlu menang ke atas Myanmar untuk mara ke peringkat seterusnya selepas menghuni tangga ke tiga Kumpulan A selepas menang dua perlawanan dan tewas satu perlawanan.