Malaysia Berita

Irfan Bakti Akur Pemergian Faiz Nasir

Pengendali skuad Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk mengekalkan khidmat Faiz Nasir untuk musim hadapan tetapi terpaksa akur dengan keputusan pemain tersebut yang mahukan nafas baru dalam kerjayanya musim hadapan.

Pemain berusia 26 tahun itu telah beraksi bersama skuad TFC sejak daripada musim 2017 serta antara pemain yang memberi impak positif terhadap pasukan setelah berjaya membawa TFC ke peringkat akhir Piala Malaysia musim ini yang menyaksikan beliau menjaringkan gol cantik pada perlawanan akhir tersebut.

Irfan yang mengakui akur dengan keputusan pemain tersebut mendedahkan bahawa beliau sudah menemui pemain untuk mengantikan posisi yang ditinggalkan Faiz Nasir apabila menandatangani pemain Felda United, Ahmad Syamim Yahya

“Faiz sangat menyerlah tahun ini dan banyak pasukan mahukan khidmatnya. Selain itu, dua pemain lain turut menolak tawaran untuk kekal bersama kami,” katanya kepada Stadium Astro.

Irfan juga berazama untuk menamatkan monopoli JDT dalam perebutan Liga Super bagi musim hadapan dan beliau dalam peringkat mempersiapkan pasukan.

“Setiap pasukan pasti mahu menandingi JDT. Mereka melakukan sesuatu yang mustahil untuk muncul juara liga selama lima musim berturut-turut.

“Saya mahu meningkatkan pasukan saya agar dapat menandingi JDT kerana rekod lima tahun mereka begitu sukar untuk diatasi,” katanya kepada Stadium Astro.