Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Aidil Zafuan Mahu Kalahkan Vietnam

Pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak menyatakan bahawa kemenangan terhadap Vietnam akan menjadi pencetus motivasi sepanjang kempen Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki 2018.

Ini kerana Vietnam memiliki kemampuan untuk mengejutkan skuad Tan Cheng Hoe dengan kelajuan dan kreativiti yang dimiliki setiap pemain.

Kemenangan ke atas Vietnam juga akan menjanjikan tempat ke pusingan seterusnya.

“Kami menang 3-1 menentang Laos tetapi hanya menemui rentak permainan kami di minit-minit akhir permainan.

“Kemenangan itu telah meningkatkan keyakinan kita tetapi kita tahu Vietnam berbeza dari Kemboja dan Laos. Mereka adalah pasukan piliham untuk menjadi juara kerana kelajuan dan teknik mereka.

“Kami perlu fokus dan sedar kemampuan diri untuk meneruskan rentak kemenangan,” kata Aidil, yang mengatakan semua pemain yakin mereka boleh pergi memenangi trofi jika mereka berjaya menundukkan Vietnam.

Malaysia yang mendahului Kumpulan A dengan enam mata setelah menang keatas Laos dan Kemboja pasti ingin meneruskan rentak kemenangan apabila bertemu Vietnam nanti.

Bermain di hadapan penyokong Vietnam, Aidil berkata itu tidak memberi tekanan kepada pemain Harimau Malaya sebaliknya beliau merasakan Vietnam yang akan tertekan dengan tag sebagai pasukan pilihan dan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Ia adalah satu motivasi untuk kami. Pemain tidak tertekan, tidak seperti Vietnam yang akan tertekan kerana tag pasukan pilihan. Kami akan tampil dalam perlawanan ini dan memastikan kami menempah tempat di peringkat kalah mati,” katanya.