Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Akram Mahinan Tak Hidup Dek Puji, Tak Mati Dek Keji

Tugas seorang pemain tengah adalah membantu pemain pertahanan dan juga memulakan pergerakan menyerang. Ia akan menjadi susah jika seseorang pemain itu tidak tenang dan tergopoh-gopoh.

Setelah melakukan kerja yang baik di bahagian tengah serta kadang-kadang dikatakan sebagai pemain yang sepatutnya tidak mendapat panggilan untuk mewakili negara, Akram Mahinan masih tenang dan menerima kritikan tersebut sebagai motivasi untuk beliau menaikkan mutu permainan beliau.

Beliau yang bertindak sebagai pemain tengah bertahan sering disalah erti oleh peminat bola sepak apabila ada segelintir peminat yang meminta beliau lebih kreatif dan membuat ‘killer pass’ kepada pemain penyerang untuk mereka menjaringkan gol.

Sedangkan tugas beliau adalah mengawal permainan di bahagian tengah serta membantu pertahanan negara bertahan jika pemain lawan datang menyerang.

“Jurulatih kami (Tan Cheng Hoe) telah memberi saya peranan sebagai pemain tengah bertahan dan saya melakukan yang terbaik,” kata Akram.

“Saya sedar akan komen yang dilemparkan kepada saya tetapi ia tidak akan memberi kesan kepada fokus saya. Saya menerima beberapa kritikan tetapi mengabaikan komen yang tidak masuk akal,” kata Akram, yang berjanji untuk bekerja lebih keras untuk kejayaan pasukan.

Akram yang tampil pada perlawanan pertama dengan Kemboja yang menyaksikan skuad Harimau Malaya menang 1-0 dan tampil sekali lagi sewaktu kemenangan dengan Laos menjadi mangsa kritikan penonton bola sepak Malaysia. 

Pendekatan permainan beliau yang tenang dan tidak gopoh pasti akan digunakan oleh Tan Cheng Hoe ketika Malaysia berkunjung ke Hanoi pada pertemuan dengan Vietnam untuk aksi ketiga Kumpulan A, Jumaat ini.

Akram berkata perlawanan menentang Vietnam di Hanoi esok akan menjadi ujian sebenar bagi Malaysia tetapi dua kemenangan pertama telah memberikan mereka keyakinan.

“Persediaan sedang berjalan dengan baik dan semua pemain sangat gembira, kami berharap rakyat Malaysia  akan berdoa dan berdiri di belakang kami semasa kempen ini,” katanya.