Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Kelebihan Berpihak Kepada Vietnam – Tan Cheng Hoe

Vietnam yang dibarisi pemain muda dan mempunyai kemampuan untuk menundukkan lawan pasti menjadi satu cabaran buat jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe apabila anak buahnya berkunjung ke Hanoi bagi perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A dengan Vietnam, esok. 

Tan Cheng Hoe turut menyatakan bahawa Vietnam mempunyai kelebihan kerana bermain di negara sendiri dan mempunyai rehat yang cukup apabila hanya bermain satu perlawanan ketika menang 3-0 ke atas Laos.

Manakala skuad Malaysia telah bermain dua perlawanan dan hanya sempat berehat sehari sebelum terbang ke Hanoi hari ini dengan membawa misi bagi memburu kemenangan.

“Sebagai jurulatih saya tak boleh risau jika Vietnam membuat analisa mengenai dua perlawanan kita tapi apa yang pasti mereka ada kelebihan rehat satu perlawanan dan mungkin dari segi tahap kecergasan lawan lebih baik, namun saya harap pemain boleh teruskan momentum itu.

“Apapun, kita perlu bermain lebih fokus dan taktikal kerana semua orang tahu Vietnam pasukan pilihan untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Saya rasa pemain sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan dengan Vietnam,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau juga turut memberi komen tentang tahap kecederaan beberapa pemain Malaysia.

“Kita terima nasihat doktor mengenai tahap kecederaan hamstring (Sumareh), harap dua hari lagi dapat putuskan perkembangan kecederaan dia,” katanya kepada Berita Harian.