Malaysia Berita

Skuad Malaysia Diingatkan Agar Tidak Hilang Fokus

Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengingatkan para pemain agar tidak tenggelam dalam lautan penyokong Kemboja yang akan memenuhi setiap tempat duduk penonton apabila mereka turun beraksi bertemu Kemboja pada aksi pertama Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018, hari ini.

Kesan penyokong lawan dapat dirasai pada perlawanan persahabatan yang lalu apabila Malaysia seolah bergelut untuk bangkit mencipta kemenangan ke atas Kemboja.

Biarpun ketika itu Malaysia menang 3-1 ke atas Kemboja, Tan Cheng Hoe tetap mahu anak buahnya fokus dan tidak terkesan dengan ribuan penonton yang hadir.

“Saya harap semua pemain dapat mempamerkan semangat berpasukan dan juang yang tinggi kerana bukan mudah untuk kita bertandang ke stadium ini apatah lagi dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.

“Saya akui kehadiran puluhan ribu penyokong Kemboja ditambah dengan harapan tinggi penyokong di Malaysia, pasti akan memberi tekanan kepada pemain tetapi saya harap mereka bijak mengatasinya.

“Memang kami datang untuk mendapatkan keputusan positif, kita tahu Kemboja bermain baik walaupun tidak mencatat kemenangan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Saya berharap pemain sudah bersedia untuk mengatasi tekanan,” kata Cheng Hoe dalam kepada Berita Harian pada sidang media praperlawanan hari ini.

Malaysia yang dibarisi pemain muda dan beberapa pemain senior dilihat sudah bersedia untuk menghadapi Kemboja pada perlawanan pertama Kumpulan A.

Beliau yang mempunyai pengalaman sebagai pembantu jurulatih kepada Datuk K Rajagopal ketika Malaysia pertama kali memenangi Piala AFF 2010 mempunyai ramuan tersendiri bagi mencipta pasukan yang seimbang.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Tan Cheng Hoe menyatakan beberapa tonggak baru sudah mula menunjukkan impak yang positif kepada pasukan dan berharap mereka boleh bermain dalam satu pasukan.

“Saya gembira kerana ini Piala AFF pertama saya sebagai jurulatih, apa yang penting semua pemain dalam keadaan terbaik untuk beraksi esok. Ia bukan perlawanan mudah tapi kami sudah bersedia.

“Perlawanan pada September lalu hanya perlawanan persahabatan, esok perlawanan kompetitif. Ada beberapa muka baharu dalam pasukan termasuk (Mohamadou) Sumareh yang sudah memberikan impak bagus dalam tiga perlawanan sebelum ini dan saya harap dia dapat menunjukkan permainan bagus dan bermain dalam satu pasukan.

“Safawi (Rasid) baru menerima anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia dan pastinya dia bermotivasi tinggi untuk beraksi,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia bertemu Kemboja dalam saingan Piala AFF adalah pada edisi 2016 yang menyaksikan skuad Malaysia menang 3-2, tetapi tersingkir awal kerana menamatkan kempen di tangga ke tiga.

Sejak format baru perlawanan diperkenalkan, iaitu tiada tuan rumah, Malaysia akan berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 12 November ini, dengan Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di SNBJ (24 November).