Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe Pertahan Pilihan Pemain, Akram Mahu Tutup Mulut Pengkritik

Selepas dipersoalkan dengan beberapa keputusan melibatkan 23 senarai pemain yang akan beraksi di Piala AFF Suzuki 2018, jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe meminta semua peminat agar bertenang dan meminta agar semua memberi sokongan moral kepada pasukan negara yang akan turun beraksi menentang Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan A, esok.

Pilihan pemain kali ini mencetuskan perdebatan selepas beberapa nama ditinggalkan oleh Cheng Hoe.

Hal ini melibatkan bahagian tengah yang dilihat tiada banyak pilihan selepas jurulatih skuad kebangsaan membuat keputusan untuk menyisihkan Nor Azam Azih disebabkan kecederaan.

Untuk rekod, posisi tengah akan dikemudi oleh Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Muhammad Akram Mahinan (Kedah) dan D. Kenny Pallraj (Perak).

“Setiap jurulatih mempunyai falsafah mereka sendiri.

“Saya mempunyai keyakinan terhadap keseluruhan pemain yang saya pilih.” Kata beliau kepada Awani.

Selain daripada itu, peminat juga mempersoalkan keputusan untuk menyenaraikan Akram Mahinan apabila pemain itu gagal beraksi cemerlang buat pasukan Kedah.

Menjawab kritikan tersebut, Akram menyatakan bahawa beliau sedia untuk mengambil ini sebagai suatu cabaran dan akan menjadikannya sebagai suatu motivasi untuk beliau menutup mulut pengkritik.

“Saya menganggap segala kritikan yang diberikan sebagai satu cabaran untuk membuktikan bahawa saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan,” kata Akram kepada Awani.