Liga Super Malaysia

Skuad Kebangsaan Diingatkan Tidak Ambil Mudah Lawan Kemboja

Kemboja yang dibimbing lagenda Jepun, Keisuke Honda akan turun memberi cabaran kepada anak buah Tan Cheng Hoe pada aksi pembukaan Kumpulan A untuk kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan bermula esok.

Justeru itu, jurulatih skuad kebangsaan mengingatkan kepada semua pemain agar mencari jalan mudah untuk menang pada perlawanan pertama dan memberi kedudukan selesa untuk skuad kebangsaan layak ke peringkat seterusnya.

Malaysia yang bertemu Kemboja pada aksi persahabatan 10 September lalu kelihatan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan padang rumput tiruan serta terpaksa bangkit pada babak kedua untuk memenangi perlawanan dengan 3-1.

“Kita sudah bertemu dengan Kemboja sebelum ini, yang penting pemain sudah mempunyai pengalaman bermain di padang sintetik itu. Saya mengingatkan kepada pemain bahawa perlawanan kali ini berbeza di mana ia akan menguji mental dan fizikal pemain.

“Kemboja pasti lebih bersedia kali ini kerana sebelum ini mereka hanya baru berlatih dengan jurulatih baharu. Perlawanan pertama bukan mudah untuk mana-mana pasukan apatah lagi stadium bakal dipenuhi penyokong tuan rumah nanti.

“Saya mahu pemain fokus dan tidak tertekan dengan melakukan kesilapan yang boleh meletakkan pasukan dalam situasi sukar,” katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Malaysia yang diwakili oleh lapan pemain yang pernah beraksi untuk Piala AFF Suzuki edisi 2016 akan berhadapan Vietnam, Myanmar dan juga Laos dalam aksi Kumpulan A. 

Tan Cheng Hoe juga mengulas lanjut keadaan pemain yang cergas dalam sesi latihan serta tiada kecederaan yang dialami oleh 23 pemain skuad negara.

“Semua pemain dalam keadaan terbaik dan yang paling penting semua 23 pemain tidak cedera dan sudah bersedia untuk beraksi. Saya sudah ada bayangan kesebelasan utama, cuma hari-hari terakhir ini saya akan terus menilai prestasi pemain jika perlu melakukan perubahan.” Katanya kepada Sukan NSTP.