Malaysia Berita

Mehmet Kekal Bimbing Perak

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengesahkan yang beliau tidak akan berpindah ke Selangor dan membuat pusingan u-turn apabila akan kekal membimbing Perak untul Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Beliau yang dilamar oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah untuk membimbing pasukan Liga Super, Selangor musim hadapan akan terus kekal membimbing Perak.

“Saya ingin berterima kasih kepada Raja Muda Selangor dan saya berbual mesra bersama beliau selepas perlawanan akhir Piala Malaysia dan memang ya saya bersetuju untuk sertai Selangor, tetapi selepas menjelaskan semua situasi dengan keluarga saya.

“Beliau memberi restu untuk saya terus bersama Perak dan saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau,” Durakovic memberitahu Bernama selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 di sini malam tadi.

Beliau yang memenangi anugerah Jurulatih Terbaik selepas berjaya membawa Perak berada di kedudukan kedua liga dan memenangi Piala Malaysia baru-baru.

“Saya telah bersama pasukan bola Selangor selama 25 tahun dan mereka seperti keluarga saya dan Insya-Allah, saya akan kembali kepada Selangor.”

Beliau yang dianggap sebagai lagenda Selangor dan telah membantu pasukan The Red Giant memenangi tiga Piala Malaysia pada tahun 1995, 1996 dan 1997 serta membawa Selangor memenangi Piala Malaysia sebagai jurulatih pada 2015.

Durakovic juga telah menyatakan bahawa pengurusan Perak dalam jangka mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Liga Kejuaraan Asia 2019 (ACL2019) selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi slot ACL 2019 kepada Perak selepas Pahang gagal mengemukakan rayuan selepas ingkar untuk mengambil bahagian dalam Piala AFC sebelum ini.

“Ia bukan tugas yang mudah bila memerlukan sebuah skuad yang besar dan berpengalaman luas, tetapi harap-harap kita boleh mendapat kewangan yang baik untuk mendapatkan pemain yang terbaik,” kata Durakovic.