Malaysia Berita

Nik Nazmi Tak Jadi Tanding Presiden, Mahu Bergandingan Dengan Datuk Seri Adnan

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta semua ahli gabungan agar memilih dirinya sebagai timbalan presiden dan mengekalkan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan sebagai presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Beliau juga percaya gabungan ini akan menjadi gandingan yang mantap dalam memacu misi dan visi KLFA dalam menjadi kelab yang kompetitif di Liga-M

Nik Nazmi yang baru berusia 36 tahun ini akan menjalinkan kerjasama dengan semua pihak bagi memacu The City Boys ke arah yang tepat dan betul.

“Meskipun bertanding selaku orang nombor dua KLFA, saya dengan teguh hati percaya bahawa idea yang sudah saya utarakan dalam kenyataan sebelum ini dapat diteruskan dan direalisasikan, demi kepentingan, kelangsungan serta kemajuan KLFA.

“Saya juga menghargai peranan yang dimainkan Datuk Seri Adnan dalam membawa skuad Kuala Lumpur ke saingan Liga Super, selepas kali terakhir layak pada tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi pada 1 Oktober 2018 telah mengeluarkan kenyataan yang ditulis di laman Twitter miliknya bahawa beliau berminat untuk bertanding sebagai presiden KLFA sebelum menukar fikiran untuk hanya mencabar jawatan timbalan presiden.

“Sudah tentu, antara faktor utama keputusan ini dibuat pastilah bagi membolehkan saya menimba pengalaman dalam menguruskan persatuan,” katanya.