Malaysia Berita

Chantha Bin Dilamar Dua Kelab Luar

Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin mengakui bahawa beliau ada dilamar oleh beberapa pasukan luar antaranya Kemboja dan juga Thailand.

Beliau yang mengemudi pasukan TFC sehingga ke final Piala Malaysia menyatakan bahawa beliau belum membuat apa-apa keputusan lagi antara mahu kekal bersama TFC atau berpindah ke kelab yang lain.

“Setakat ni ada tiga kelab dari Kemboja dan sebuah kelab dari Thailand menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat saya musim depan.

“Namun saya belum membuat keputusan muktamad lagi sama ada menerima lamaran salah satu kelab berkenaan ataupun terus kekal bersama TFC musim depan,” kata Chantha Bin kepada Berita Harian.

Pemain antarabangsa Kemboja ini adalah antara pemain import yang mahu dikekalkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNST) termasuk Kipre Tchetche, Lee Tuck dan Igor Zonjic.

“Saya masih mahu bermain dengan TFC musim depan walaupun mendapat tawaran daripada beberapa kelab lain, mungkin dalam masa terdekat saya akan buat keputusan terbaik,” kata bekas pemain kelab Electricite Du Cambodge (Liga Kemboja).

Beliau turut mengulas lanjut aksi final Piala Malaysia ketika bertemu Perak apabila menyatakan didalam bola sepak apa-apa boleh berlaku dan disebabkan itu pemain harus fokus 90 minit perlawanan.

“Kami ingin mencipta sejarah selain mahu membanggakan penyokong selepas kali terakhir muncul juara pada 2001, tapi apa boleh buat, kejayaan yang hampir dalam genggaman berkecai pada 30 saat terakhir,” katanya yang kali pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.