Liga Super Malaysia Berita

Mora enggan kehilangan Bergson lagi

Benjamin Mora mengakui ketiadaan Bergson menjadi salah satu punca JDT hanya dapat membawa pulang satu mata selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat tempoh hari.

Ini setelah penjaring terbanyak Liga Super dengan 13 gol ketika ini, terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-14 dan digantikan dengan Safawi Rasid.

“Malangnya, Bergson cedera awal minit perlawanan,” kata Mora dalam sidang media selepas perlawanan.

“Saya rasa ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasukan secara mental dan emosi, tetapi kita akan pulih daripada ini dan JDT akan kembali.”

Ketika ditanya bila Bergson boleh kembali beraksi, Mora berharap beliau akan kembali secepat yang mungkin.

“Saya tak tahu bila dia akan kembali, kita kena periksa kecederaan dengan doktor melalui MRI, lepas kakinya bengkak, kita akan tengok seteruk mana kecederaannya.

“Tetapi dalam perlawanan, dia tak boleh terus bermain, dia rasa sakit, saya rasa dia terjatuh dengan salah di atas padang tetapi inilah bola sepak, kemalangan berlaku dalam bola sepak dan dia akan kembali.”

Bagaimanapun, Mora menyifatkan Bergson sebagai pemain yang penting buat JDT dan enggan kehilangan beliau dalam perlawanan seterusnya.

“Bergson sudah menunjukkan betapa pentingnya kehadirannya buat JDT, menjaringkan banyak gol, menjadi pemain yang penting dalam setiap pergerakan pasukan.

“Dia adalah penyerang yang memberikan kita mata, sudah tentu kita akan merinduinya kalau dia tidak ada dalam perlawanan seterusnya.

“Tetapi 15 Julai ini, kita akan melawan Sabah, mungkin dia akan sedia untuk kembali, itu tidak jadi masalah, kita cuma perlu jaga dia baik-baik dan buat apa yang patut dilakukan.”

Jurulatih Melaka United, Asri Ninggal juga mengakui ketajaman serangan JDT sedikit tumpul apabila Bergson tidak beraksi.

“Bergson memang pemain yang bagus, bila dia tidak ada, nampak sangat yang serangan JDT itu kurang sikitlah.

“Saya tak kata pemain lain JDT tak bagus, tapi mungkin momentum itu, sebab dia penjaring terbanyak kan, mungkin ada sikitlah.”

Bagaimanapun, Asri tetap memberikan pujian kepada pasukannya yang berjaya mencuri satu mata daripada JDT.

“Lawan JDT ini bukan mudah, atas kertas JDT lebih bagus dengan pemain importnya, pemain kebangsaannya, tapi pujian kepada pemain, mereka main all out.

“Walaupun kita jumpa JDT sebelum ini dan dia menang dengan jaringan yang besar tapi pemain bermain dengan begitu disiplin, fokus dan mempunyai atitud yang sama hingga tamat perlawanan, pujian kepada pemain.

“Kita tahu penguasaan bola JDT bagus, jadi kalau kita bagi ruang, dia akan hukum kita, sebab itu kita buat kerja rumah, pemain pun bermotivasi dengan kehadiran peminat Melaka.

“Walaupun penyokong Johor ramai, tapi mereka (Melaka) nak buktikan mereka boleh main bola, itu paling penting.”