Malaysia Berita

Safawi Sedia Bantu Skuad Negara, Jadikan Kemenangan MVP Sebagai Motivasi

Safawi Rasid, pemain sayap Johor Darul Ta’azim, pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai pada maklis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK18) menyatakan bahawa kemenangan ini akan membakar semangat beliau untuk membantu skuad negara pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan berlangsung pada 8 November ini.

Pemain 23 tahun yang berasal daripada Terengganu ini berkata beliau tidak menjangkakan akan membolot tiga anugerah dan berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu beliau serta pengurusan JDT yang percaya dengan kemampuan beliau.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong JDT, media, ketua jurulatih dan kapten pasukan untuk memilih saya, serta ibu bapa dan pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Bagi saya, kejayaan itu akan memperkuatkan saya untuk memburu tempat di sebelas skuad kebangsaan di Piala AFF,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis di sini malam tadi.

Beliau yang terpilih oleh Tan Cheng Hoe untuk mewakili skuad negara kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 akan berlepas ke Phnom Penh untuk bertemu Kemboja pada pertemuan pembukaan Kumpulan A pada Khamis ini.