Piala Malaysia Berita

Pulanglah Dengan Sempurna – PAFA

Setiausaha Agung PAFA, Abd Aziz Yeop Jamaluddin berharap para pemain yang mewakili negara akan pulang dalam keadaan baik bagi membolehkan mereka bersedia untuk perlawanan timbal balik separuh akhir kedua bertemu Sabah, Ahad nanti.

Beliau menambah, rayuan untuk dikecualikan sudah dibuat tetapi terpaksa akur apabila rayuan itu ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain Bos Gaurus yang mewakili kebangsaan adalah Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan, Kenny Pallraj dan Nor Hakim Hassan.

“Kita harap mereka tidak cedera kerana ini peluang terbaik kita untuk ke final Piala Malaysia selepas beberapa tahun mencuba,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

“Walaupun kita sudah cuba merayu lima pemain itu dikecualikan daripada menyertai skuad kebangsaan, tapi tak dapat. Sekarang ini kita cuma boleh berharap mereka kembali kepada pasukan dalam keadaan baik.”

Perak sudah boleh dikatakan sebagai ‘kaki kanan’ sudah di pentas final Piala Malaysia, hanya menunggu selangkah kaki lagi untuk secara rasmi menempah tempat di final.

Tetapi di pentas separuh akhir ini apa apa boleh jadi ditambah dengan semangat Sabah yang akan bermain di laman sendiri.