Malaysia Berita

Kawal Kemasukan Awang Import

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyuarakan kebimbangan beliau terhadap pembatalan peraturan 18 pendaftaran pemain asing oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Beliau berkata, pembatalan ini akan membawa masuk lebih ramai pemain import dan apa yang dikhuatiri oleh beliau adalah kebanjiran import yang tidak berkualiti kerana kurangnya piawaian ketat ke atas kriteria pemain import yang boleh ditandatangani.

Sathianathan mengingatkan kepada semua pengurus dan jurulatih agar berhati-hati dalam mengambil pemain import .

“Pembatalan peraturan itu ada baik dan buruknya. Apa yang baik ia membuka peluang lebih ramai pemain import untuk beraksi dan lebih banyak pilihan buat pasukan kerana tiada lagi sekatan membabitkan kelayakan mereka.

“Namun, apa yang menjadi kerisauan adalah mengenai kualiti mereka sama ada berkualiti atau sekadar ditandatangani kerana harga mereka yang murah disebabkan beraksi di divisyen bawahan.

“Jika pengurusan membeli pemain berkualiti dengan harga rendah tak mengapalah. Apa yang saya takut jika kualiti pemain import jauh lebih teruk berbanding pemain tempatan sendiri.

“Apa pun, semuanya bergantung kepada kebijaksanaan jurulatih dan pengurusan untuk mengambil pemain import. Mungkin mereka boleh memantau terus pemain itu untuk melihat sama ada berkualiti atau hanya indah khabar daripada rupa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pembatalan Artikel 18.2 (f), manual Liga Malaysia (Liga M) oleh MFL adalah untuk mengurangkan beban kos pemain import yang tinggi.

Keputusan ini dilihat bagi mengurangkan kesukaran pengurus dan jurulatih untuk mendaftar pemain mereka.