Malaysia Berita

Zaquan Tak Mahu Ambil Mudah Lawan Sri Lanka

Skuad Tan Cheng Hoe akan memulakan aksi persahabatan apabila mereka dijadualkan bertemu Sri Lanka, esok di Stadium Sugathadasa, Colombo dan selepas itu mereka akan menerima kunjungan Kyrgyzstan di Melaka nanti.

Bagi kapten pasukan kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak, perlawanan bertemu Sri Lanka bukanlah suatu perlawanan yang boleh di ambil mudah walaupun kedudukan rangking kita jauh lebih baik daripada mereka.

Tambah beliau lagi, kekangan masa dan waktu latihan yang singkat akan menyukarkan lagi misi mereka untuk menang ke atas Sri Lanka kerana kurangnya keserasian antara pemain, tetapi beliau berharap rakan sepasukannya akan bermain sebagai satu pasukan dan memberi kemenangan kepada skuad negara.

“Bagi saya dan rakan sepasukan, ini bukanlah satu tugas yang mudah. Walaupun sekadar aksi persahabatan tetapi ia tetap dianggap penting sebagai persiapan ke Piala AFF Suzuki 2018.

“Kita juga berdepan kekangan masa kerana hanya sempat berlatih tiga hari sebelum terbang ke Colombo. Jadi, saya mengharapkan rakan sepasukan dapat segera membentuk keserasian untuk menentang lawan, Jumaat ini (malam esok),” katanya kepada Berita Harian.

Pemain 31 tahun yang berasal daripada Negeri Sembilan ini juga mengulas apabila ditanya tentang skuad kebangsaan kali ini yang rata-rata diwakili muka baru.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, setiap pemain memiliki kelebihan masing-masing. Jadi, ia akan memberi impak yang positif kepada pasukan.

“Situasi ini juga memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih untuk membuat eksperimen bagi menurunkan kesebelasan utama terbaik,” kata beliau seperti yang dipetik Berita Harian.

Untuk rekod, Sri Lanka yang dibimbing Mohamed Packeer Ali hanya mencatat satu kemenangan pada tiga aksi persahabatan terakhir mereka dan Sri Lanka menduduki ranking ke-199 dunia.