Malaysia Berita

Mahu Beri Keutamaan Pada Persefahaman Sebuah Pasukan.

Adam Nor Azlin, pemain pertahanan skuad kebangsaan menyatakan perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka, esok dan Kyrgyzstan pada 16 Oktober nanti adalah perlawanan untuk mencari persefahaman sebagai sebuah pasukan bagi menghadapi Piala AFF pada November depan.

Selain daripada itu juga, perlawanan persahabatan ini akan menjadi pentas saingan buat para pemain untuk merebut tempat di dalam skuad Tan Cheng Hoe.

Beliau menambah, saingan ini akan berlangsung secara sihat kerana yang paling utama adalah kemenangan buat negara bagi menaikkan motivasi mereka.

Memetik kata-kata beliau pada Berita Harian, “Fokus kini terarah meningkatkan persefahaman, selain kecergasan dan keupayaan menyerap corak latihan dan taktikal ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk diterjemahkan pada perlawanan.

“Apa yang penting, komitmen tinggi akan dipersembah bersama rakan pasukan dan pada masa sama, masing-masing berazam meraih tempat ke saingan Piala AFF pada November depan.

“Saya tidak pasti siapa yang akan diturunkan dalam dua perlawanan antarabangsa ini, paling utama adalah bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa,”

Pemain kelahiran Selangor ini sudah lama tidak dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan. Tetapi beliau tetap positif dan akan percaya akan memberi momentum jika diturunkan nanti.