Malaysia Berita

Liat Nak Bayar Gaji, Sathianathan Selar Pihak Terbabit

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan hari ini menyatakan kebimbangan beliau terhadap isu tunggakan gaji yang bukan sahaja melibatkan para pemain, tetapi juga para jurulatih.

Tambah beliau, jumlah tunggakan gaji setakat ini adalah sebanyak RM 400,000 dan beliau telah menyatakan setakat ini empat kes yang diadukan kepada PJBM telah dibawa ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

Bekas jurulatih kebangsaan ini juga turut menegaskan jika kes ini tidak dibendung dengan cepat, masa depan para jurulatih akan terjejas, hal ini kerana jurulatih tidak mempunyai peluang yang besar seperti pemain yang boleh berhijrah dari satu pasukan ke pasukan yang lain.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, “Selama ini masalah tunggakan gaji membabitkan pemain lebih mendapat perhatian sedangkan hakikatnya jurulatih juga tidak terlepas daripada situasi sama, cuma tidaklah seramai pemain.

“Nampak jumlah yang terbabit kecil sahaja seolah-olah kes terpencil tapi isu ini tidak boleh dipandang remeh  dan jika tidak dibendung, boleh menjejaskan masa depan jurulatih kita.

“Malah, kesan ditanggung jurulatih lebih besar berbanding pemain kerana tidak seperti pemain yang mudah mencari rezeki dengan pasukan lain jika berdepan masalah sebegini, jurulatih pula mempunyai peluang yang sangat terhad untuk berbuat begitu,” kata Sathia.

Kata jurulatih FELDA itu lagi, walaupun aduan sudah dibuat dan arahan sudah dikeluarkan. Tetapi ada beberapa pasukan yang tidak mengambil serius terhadap isu ini. Seperti yang terjadi kepada Manja Man yang masih belum menerima bayaran gajinya daripada Persatuan Bolasepak Perlis walaupun arahan berbuat demikian sudah dikeluarkan.

“Ada persatuan yang sudah diarahkan FAM supaya membayar tunggakan gaji mengambil sikap lepas tangan dengan alasan tidak ada wang. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana mereka perlu bertanggungjawab walau apapun situasi mereka hadapi.

“Saya harap FAM akan bertindak tegas untuk membendung masalah ini daripada terus menular. Mungkin salah satu cara untuk melangsaikan hutang mereka kepada jurulatih atau pemain adalah dengan memotong geran tahunan mereka,” kata beliau kepada Berita Harian.