Malaysia Berita

Wang Bukan Motivasi, Sang Badak Turun Dengan Sepenuh Kekuatan

Sang Badak akan turun bermati-matian pada separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Perak di Ipoh, Ahad ini.

Pengurus Sabah, Datuk Juil Nuatim yakin walaupun belum dijanjikan dengan sebarang ganjaran, beliau yakin anak buahnya akan turun dengan sepenuh kekuatan untuk mencipta sejarah.

Tambahnya pula, pengurusan pasukan itu kina berusaha mendapatkan sesuatu untuk diberikan kepada pemain sekiranya mereka berjaya melangkagh ke final kali ini.

“Kami tidak nafikan, mungkin pemain mengharapkan sesuatu daripada pengurusan sekiranya mereka melangkah ke final, lebih-lebih lagi selepas pemain lawan dijanjikan insentif RM15,000 seorang oleh kerajaan negeri mereka.

“Bagaimanapun, kami perlu mengambil kira situasi sekarang termasuk keadaan kewangan SAFA (Persatuan Bolasepak Sabah),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Sementara itu, Juil turut berharap sumbangan daripada kerajaan negeri untuk menaikkan semangat pemain.

“Sekiranya kerajaan negeri mempunyai kewangan yang kukuh, saya harap mereka mempertimbangkan untuk memberi ganjaran kepada pemain sebagai suntikan semangat, seperti dilakukan Perak,” katanya.

Sabah bertandang ke Stadium Perak bagi separuh akhir pertama, Ahad ini, sebelum menjadi tuan rumah pada aksi kedua di Stadium Likas, 21 Oktober depan.