Malaysia Berita

Fokus Dan Jangan Takut!

Menjelang Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Bekasi bermula 20 Oktober depan, jurulatih skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak menegaskan bahawa anak buahnya tidak perlu risau dengan gejala samseng bola sepak yang melanda Indonesia.

Tambahnya, beliau yakin dengan jaminan keselamatan oleh pihak penganjur dan anak buahnya hanya perlu fokus dengan aksi di tengah padang.

“Saya fikir kami tiada masalah untuk ke sana, malah kami tidak bermain dalam kumpulan yang sama dengan Indonesia, biasanya masalah hanya akan berlaku bila bermain menentang mereka,” kata Hodak yang berlepas ke Doha hari ini bersama pasukannya bagi aksi persahabatan dengan B-19 Qatar, Jumaat ini.

Julai lalu, skuad muda negara merasai pengalaman menakutkan apabila diserang oleh penyokong Indonesia dengan balingan objek keras kerana tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka pada separuh akhir Kejohanan B-19 AFF di Surabaya.

Selepas itu pada Ogos lalu, skuad B-16 negara turut berdepan provokasi melampau penyokong tuan rumah ketika Kejohanan B-16 AFF.

Terbaru, sewaktu perlawanan Persija Jakarta menentang Persib Bandung, sekumpulan penyokong lawan telah memukul mati penyokong Persija Jakarta sebelum perlawanan berhampiran Stadium Gelora Bandung Lautan Api di Bandung.

Hodak bagaimanapun mahu pemain-pemainnya fokus dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan nanti.

“Ini pasukan terbaik yang saya ada selepas menguji pemain selama setahun. Sebelum ini kebanyakan pemain tidak memiliki pengalaman tapi mereka semakin meningkat dan berjaya memenangi Piala AFF dan layak ke pusingan akhir AFC,” katanya.