Piala Malaysia Berita

JDT Mengharapkan Kemenangan Selesa

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertandang ke Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC).

Luciano Figueroa, Pengurus JDT, menganggap perlawanan menentang skuad Penyu adalah perlawanan yang penting kerana TFC dilabel sebagai pasukan yang kuat dan mantap.

Selepas menumbangkan jiran TFC, Pahang, pada perlawanan lalu Figueroa menyatakan bahawa penting untuk JDT mencari resepi kemenangan bagi menjadikan kedudukan selesa pada perlawanan timbal balik di Larkin pada 20 Oktober depan.

“Memang kami mahu menang pada aksi separuh akhir pertama walaupun sedar berdepan kesukaran kerana beraksi di tempat lawan dan TFC juga memiliki pemain yang mantap dan berkualiti tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.

“TFC sudah pasti akan turun habis-habisan untuk menewaskan kami dan sudah tentu kami tidak rela perkara itu berlaku. Mereka sebaliknya harus risau dengan kekuatan JDT yang tampil dengan permainan berbeza bagi mencari kemenangan.

“Persiapan kami berjalan lancar dan tiada pemain yang mengalami kecederaan atau digantung. Ia memberi peluang untuk saya dan Benjamin Mora menyenaraikan kesebelasan terbaik berdepan anak buah Irfan Bakti (Abu Salim),” katanya.

JDT yang mempunyai rekod baik ketika bertemu JDT pada saingan Liga Super musim ini, tidak mahu mendabik dada kerana bagi beliau perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia adalah dua perlawanan yang berbeza, tambahan pula ia sudah memasuki peringkat separuh akhir.

 “Kemenangan ke atas TFC pada saingan liga sudah menjadi lipatan sejarah. Kini cabaran lebih hebat kerana kami turun beraksi pada separuh akhir dan ia perlawanan kalah mati jadi kami harus fokus tanpa membuat kesilapan.

“Apa yang membimbangkan saya adalah keadaan padang di stadium itu yang akan menjejaskan rentak permainan JDT. Namun kami akan beri yang terbaik sepanjang 90 minit,” kata Figueroa.