Terengganu FC berjaya menumpaskan Felda United 2-1 dalam perlawanan suku akhir pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka malam tadi.
Pemain pertahanan Terengganu, Nasrullah Haniff membuka tirai jaringan seawal minit ke 8 dengan tandukan yang berjaya menewaskan Farizal Harun, untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada skuad Penyu.
Namun, anak buah B. Sathianathan bangkit semula pada babak kedua dengan gol penyamaan pada minit ke-56, melalui penyerang import Brazil mereka, Gilberto Fortunato. Ini merupakan gol ke-16 beliau untuk skuad Felda United musim ini.
Terengganu terus mengasak dengan agresif, sebelum dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78, apabila Thiago Aquino dipersalahkan untuk insiden ‘handball’ dalam kotak penalti. Bintang Terengganu, Lee Tuck mengambil sepakan penalti tersebut dan berjaya membantu anak buah Irfan Bakti meraih kemenangan 2-1 yang cukup berharga.
Kedua-dua pasukan akan turun berentap dalam aksi pusingan kedua suku akhir unifi Piala Malaysia di Kuala Terengganu minggu depan.