Malaysia Berita

Shafiq vs Santos: Apa pilihan Yusri Che Lah untuk pertembungan Kelantan vs Sabah?

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah masih belum membuat keputusan berkenaan individu yang akan diturunkan untuk mengetuai jentera serangan mereka dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Sabah malam esok.

Shafiq Shaharuddin diturunkan sebagai penyerang utama dalam kemenangan 2-0 ke atas Kedah tempoh hari, manakala Cristiano Santos pula dibawa masuk sebagai pemain simpanan pada babak kedua. Namun untuk pertembungan malam esok, Yusri masih sedang mempertimbangkan pelbagai faktor.

“Sabah mempunyai benteng kental dan sukar diatasi terutama pertahanan importnya (Francis Kasonde) dan pemain skuad kebangsaan, Rawilson Batuil yang menjadi tulang belakang pasukan itu.

“Saya sudah mengkaji permainan kedua-dua pemain itu dan diakui memang menjadi satu cabaran besar kepada mana-mana penyerang untuk melepasi kawalan mereka.

“Untuk itu, saya akan merangka strategi untuk menembusi benteng Sabah dan perlu memastikan pemain yang diturunkan mampu melaksanakan misi itu.

“Jadi, sama ada Shafiq atau Santos, saya hanya akan membuat keputusan pada saat akhir. Apa yang pasti hanya salah seorang saja akan diturunkan dalam kesebelasan utama sementara seorang lagi akan bertindak sebagai pengganti bila diperlukan,” kata Yusri kepada Arena Metro.