Malaysia Berita

Kami sudah bersedia – Lim Teong Kim

Ketua jurulatih Malaysia bawah 16 tahun (B-16), Lim Teong Kim dilihat begitu bersemangat untuk beraksi menentang Tajikistan yang dijadualkan pada petang esok, bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau menjelaskan bahawa keempat-empat pasukan Malaysia, Jepun, Thailand dan Tajikistan semuanya mempunyai peluang untuk mara ke peringkat suku akhir. Namun begitu, beliau yakin skuad muda negara mampu melangkah bukan sahaja ke peringkat suku akhir, malah ke peringkat separuh akhir.

Malah, beliau dilihat lebih optimis untuk mencapai sasaran tersebut memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan kali ini.

“Semua pasukan yang berada dalam kumpulan kami mempunyai matlamat sama untuk muncul dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A.”

“Kami juga ingin layak ke pusingan kalah mati dan seterusnya ke Piala Dunia Remaja pada tahun depan. Tiada apa mustahil dalam bola sepak dan begitu juga dengan perlawanan pertama kami esok apabila menentang Tajikistan nanti.”

“Seperti saya katakan dulu dan sekarang, sebagai tuan rumah kita mesti mahu mencapai matlamat itu dan saya yakin pasukan mampu meraih keputusan baik sebagai permulaan positif dalam kempen kali ini,” katanya ketika sidang media.

Sebelum kejohanan ini berlangsung, Lim Teong Kim telah mengadakan perlawanan persahabatan menentang Korea dan India pada julai lalu. Walaupun tewas, beliau berjaya mengesan beberapa kelemahan dan memperbaikinya sebelum bermulanya kejohanan ini.

“Kekalahan tempoh hari memberi kita peluang untuk memperbaiki segala kelemahan sebelum bertanding di AFC.”

“Saya berharap mereka jangan mengulangi kesilapan mudah yang akhirnya akan memerangkap pasukan sekali gus sukar untuk mencari kemenangan. Walau bagaimanapun, kita harus akui mereka masih muda dan mungkin akan ada kesilapan cuma saya harap mereka ingat pesanan saya,” katanya.