Malaysia Berita

Malaysia bukan calang-calang pasukan-Keisuke Honda

Keisuke Honda percaya perlawanan kendalian pertamanya bersama Kemboja akan menjadi ujian yang cukup getir apabila pasukannya bertemu Malaysia dalam perlawanan persahabatan pada Isnin ini.

Katanya, meskipun pertemuan tersebut hanyalah sebuah perlawanan persahabatan, beliau tetap enggan mengambil mudah terhadap pihak lawannya.

“Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar pada hari Isnin nanti kerana Malaysia adalah negara yang bermain bola sepak dengan bagus, mereka adalah pihak lawan yang sangat kuat untuk kami.

“Sebab itu, saya mahu menyumbang semua pengalaman saya kepada pasukan kebangsaan Kemboja.

“Misi saya adalah untuk mengubah nasib bola sepak Kemboja tetapi sudah tentu itu bukan satu perkara yang mudah,” katanya.

Honda bertemu dengan pasukan kebangsaan Kemboja buat pertama kalinya pada Selasa lalu dan akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan Piala AFF Suzuki 2018.

Yang menariknya, kedua-dua pihak juga akan bertemu lagi dalam perlawanan pembukaan dalam aksi Kumpulan A pada 8 November ini.

Sejak Piala AFF diperkenalkan pada tahun 1996, Kemboja telah membuat enam penampilan dalam kejohanan tersebut tetapi tidak pernah sekali pun melayakkan diri ke separuh akhir.

Nasib mereka dijangka tidak berubah pada edisi 2018 kerana mereka perlu menamatkan saingan di kedudukan dua pasukan teratas dalam kumpulan yang terdiri daripada Vietnam, Malaysia, Myanmar dan Laos.

Honda akan bertugas sebagai jurulatih Kemboja ketika minggu perlawanan antarabangsa berlangsung dan akan kembali sebagai pemain Melbourne Victory sebaik sahaja saingan A-League bermula Oktober ini.