Malaysia Berita

Ada lagi banyak pasukan yang tak bayar gaji-PFAM

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya mendedahkan seba­nyak empat pasukan daripada Liga Perdana dipercayai masih belum melunaskan hutang gaji pemain.

Katanya, beberapa pemain daripada empat pasukan tersebut sedang membuat rundingan bersama majikan masing-masing namun jika gagal mencapai sebarang persetujuan bersama maka PFAM akan membawa isu tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya tidak boleh memberitahu pasukan mana yang terlibat namun apa yang pasti tiga atau empat pasukan daripada Liga Perdana.

“PFAM sudah berhubung de­ngan pemain pasukan tersebut dan mereka sedang berbincang dengan kelab masing-masing. Kami mengikuti rapat perkembangan kes ini.

“Jika tiada kata putus maka pemain akan membuat laporan kepada PFAM untuk mengambil alih kes tersebut dan kami akan melaporkannya kepada FAM.

Walaubagaimanapun, PFAM telah menasihatkan pemain tersebut agar tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, seramai 29 pemain Perlis dan enam pemain Terengganu City dilaporkan masih belum mendapat gaji yang jumlah keseluruhannya adalah RM744,500.

Tambah Rezal, pihak PFAM sentiasa memberi soko­ngan bagi memastikan hak dan kebajikan pemain tidak diabaikan oleh majikan masing-masing.

“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh FAM dan MFL untuk menangani isu ini seperti menghukum dengan memotong mata, memperketatkan permohonan pelesenan kelab namun kes tunggakan gaji masih berlarutan hingga ke hari ini.

“Terpulang kepada FAM dan MFL untuk memperketatkan undang-undang tetapi pihak PFAM sentiasa memberi sokongan kepada pemain supaya mereka tidak dianiaya kerana kami kecewa isu tunggakan gaji masih berlaku.

“Contohnya, Kuantan FA terpaksa menarik diri daripada saingan liga dan apabila perkara itu berlaku, ia akan menjejaskan kelancaran liga dan paling pen­ting memberi kesan langsung kepada pemain itu sendiri dan MFL,” katanya.