Malaysia Berita

Presiden PBSNT umum insentif RM280,000 untuk TFC III dan TFC IV

Skuad Piala Presiden dan Piala Belia Terengganu Football Club, TFC III dan TFC IV telah diberikan insentif sebanyak RM280,000 atas kejayaan mereka baru-baru ini. TFC III berjaya menjuarai kejohanan Piala Presiden setelah menundukkan Kedah B-21.

TFC IV juga mendapat habuan setelah berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Belia, namun terpaksa berpuas hati sebagai naib juara setelah kalah kepada PKNS FC B-19 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bulan lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr. Ahmad Samsuri yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu berkata pemberian insentif ini sebagai penghargaan dan galakan kepada pemain yang berusaha keras untuk membawa kejayaan kepada negeri Terangganu.

“Insentif ini adalah berdasarkan kewangan semasa kerajaan negeri, InsyaAllah sekiranya mempunyai kewangan lebih, kita akan tingkatkan,” katanya didalam ucapan majis kesyukuran meraikan pasukan Piala Presiden TFC III dan Piala Belia TFC IV.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, Pengurus dan Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti.

Hishamuddin yang juga Timbalan Pengerusi Belia, Suka dan NGO Negeri Terengganu ketika ditemui selepas majlis tersebut mengulas bahawa jumlah RM280,000 tersebut adalah merupakan hadiah kemenangan bagi johan Piala Presiden, naib juara Piala Belia serta insentif daripada kejaraan negeri sebanyak RM80,000.

“Jumlah itu adalah hasil hadiah kemenangan merangkul juara Piala Presiden sebanyak RM150,000, naib juara Piala Belia sebanyak RM50,000 dan insentif daripada kerajaan negeri sebanyak RM80,000.

“Insentif ini adalah atas keprihatinan kerajaan negeri kepada pemain yang berjaya membawa pulang Piala Presiden selepas 12 tahun menanti. Kepada pemain Piala Belia, kejayaan mara ke final adalah sesuatu yang boleh dibanggakan,” katanya selepas majlis kesyukuran tersebut.

Beliau juga berharap pemberian ini dapat menyuntik semangat buat skuad TFC III yang akan bersaing dalam acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung tidak lama lagi di Perak.