Piala Malaysia Berita

Bagi peluang kepada Sandro jadi striker utama Kedah

Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) mendesak supaya pemain import Kedah, Sandro Da Silva terus diberi peranan sebagai penyerang utama dalam pertemuan terakhir kumpulan C Piala Malaysia menentang Kelantan di Kota Bharu, pada 16 September ini.

Penasihat JUFC, Azman Ahmad berkata, Sandro yang menggantikan Paulo Rangel akibat digantung tiga perlawanan jauh lebih berkesan dan ini terbukti berkesan dalam beberapa aksi menentang MIFA dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.

“Setiap kali dia digantikan pada posisi penyerang, dia berjaya memberi sumbangan gol yang membanggakan dan jika dillihat pada prestasinya yang kian melonjak sejak bermulanya aksi Piala Malaysia, kami yakin beliau mampu terus menyinar.

“Kami tidak menafikan sumbangan Rangel dalam Liga Super sebelum ini, tetapi ketajaman yang dimiliki Sandro yang juga pakar sepakan bebas dilihat lebih menyerlah. Ia ternyata membantu Kedah dalam saingan Piala Malaysia setakat ini dengan mengutip lapan mata dibelakang pendahulu kumpulan C, MIFA.”

“Jadi apabila beliau diangkat sebagai penyerang utama, situasi itu akan memberi kami harapan tinggi untuk Kedah terus berjuang mencari kemenangan dan seterusnya berdepan Kelantan pada 16 September nanti,” katanya kepada Berita Harian.

Kedah dilihat kembali berpeluang untuk ke peringkat suku akhir selepas menewaskan JDT 3-1 namun masih memerlukan seorang penyerang berbisa seperti Sandro.

Tambahnya, pengendali baharu Kedah, Azzmi Azmi membuat pilihan tepat apabila memilih Sandro yang memiliki pengalaman luas dan beraksi habis-habisan demi Kedah.

Sepanjang musim ini, Sandro selaku kapten beraksi di posisi tengah dan turut meraikan penampilannya yang ke-100 bersama Kedah sejak 2015 dengan jumlah jaringan 50 gol serta 30 hantaran yang menghasilkan gol.