Malaysia Berita

Dibelasah dalam perlawanan persahabatan, Bojan Hodak tidak bimbang dengan prestasi skuad B-19

Meskipun dibelasah 4-0 dalam aksi persahabatan berdepan kelab Oman, Al Suwaiq, jurulatih skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak mengganggap keputusan itu bukan pengukur keupayaan sebenar skuad kendaliannya

Katanya, para pemainnya terlalu memikirkan mengenai keputusan perlawanan sedangkan mereka hanya perlu fokus untuk meningkatkan lagi mutu permainan bagi menghadapi kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia, bulan depan.

Jelas Bojan, ini adalah pengalaman pertama anak buahnya menentang pasukan dari Arab yang mempamerkan aksi permainan pantas dan cukup berbeza dengan pasukan Asia Tenggara yang lain terutamanya selepas menjuarai Piala AFF B-19 di Indonesia beberapa bulan yang lalu.

“Sememangnya keputusan ini tidak baik untuk pasukan. Tetapi ia pengalaman cukup berguna kepada pasukan kerana ini adalah perlawanan pertama kami berdepan pasukan dari negara Arab.

“Al Suwaiq adalah juara Piala Sultan Qaboos di liga Oman pada musim lalu. Mereka bermain dengan laju berbanding pasukan kita.

“Mereka tidak mempunyai banyak peluang namun setiap kali pasukan melakukan kesilapan mereka berjaya menghukum benteng kita,” katanya kepada Berita Harian.

Skuad B-19 dalam persiapan rapi untuk kejohanan AFC B-19 yang mana empat pasukan terbaik akan meraih tiket automatik ke Piala Dunia B-20 yang dijadualkan berlangsung di Poland pada pertengahan tahun hadapan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama dua negara Arab iaitu Arab Saudi dan Tajikistan selain turut berdepan China.

Tambah Bojan, para pemainnya masih ada masa untuk memperbetulkan segala kesilapan terutamanya apabila berdepan pihak lawan yang gemar dengan permainan agresif.

“Pasukan ini sedang meningkat naik dan ia pengajaran berguna kepada kami. Jika pemain mahu menjadi pemain profesional, mereka perlu meningkatkan lagi tahap permainan seiring dengan kemajuan bola sepak moden,” katanya.

Skuad B-19 akan diuji dua lagi pasukan iaitu Oman Club esok dan Muscat Club tiga hari kemudian.