Malaysia Berita

Dipanggil ke pasukan kebangsaan, Nik Akif mahu beraksi dalam kesebelasan utama

Meskipun tersenarai dalam pasukan kebangsaan walaupun baru berusia 19 tahun, Nik Akif Syahiran Nik Mat masih belum berpuas hati dan mahu berebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Nik Akif merupakan antara pemain yang membantu skuad bawah 19 (B-19) tahun menjuarai Kejohanan AFF di Indonesia pada Julai yang lalu serta sebahagian daripada skuad B-23 yang layak ke pusingan kedua Sukan Asia 2018.

Mungkin disebabkan prestasinya yang menyerlah itu menarik perhatian jurulatih Tan Cheng Hoe untuk bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Taiwan di Taipei City pada hari Jumaat ini dan Kemboja di Phnom Penh, Isnin depan.

“Alhamdulillah syukur kerana saya mendapat panggilan menyertai skuad senior, saya mahu guna peluang ini sebaik mungkin dan akan berusaha merebut tempat dalam pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Tambahnya, dia perlu bekerja keras untuk merebut tempat kerana pencapaian bersama skuad B-19 dan B-23 tidak akan menjamin kedudukannya dalam pasukan kebangsaan.

“Rezeki ini hasil kerja keras saya, ini karier saya jadi saya kena terus berusaha dan tidak boleh berpuas hati. Masih banyak yang saya kena belajar dan perbaiki,” katanya.

Sebelum saingan Piala AFF, Nik Akif dijangka turut bersama skuad B-19 kendalian Bojan Hodak di Kejohanan AFC, Indonesia bulan depan menjadikan jadualnya agak padat sepanjang beberapa bulan akan datang.

“Penat itu memanglah penat tapi ini kerja saya, Insya-Allah saya boleh menguruskannya,” katanya.