Malaysia Piala Malaysia

JDT bakal dikenakan tindakan kerana tindakan penyokong bakar suar

Nampaknya juara Liga Super 2018 berdepan kemungkinan didenda oleh Malaysian Football League (MFL) ekoran tindakan penyokong mereka.

Dalam perlawanan bertemu Kelantan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos pada hari Sabtu lalu, penyokong Johor Darul Ta’azim (JDT), telah didapati membakar suar.

MFL menerusi satu kenyataan telah menyatakan bahawa mereka sudah menghantar laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut. Insiden ini akan dinilai oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk membincangkan tindakan yang sepatutnya akan diambil.

JDT sebelum ini pernah didenda RM40,000 oleh FAM pada tahun 2013 kerana kesalahan membakar suar dan membuang resit dalam perlawanan menentang Selangor.

Dalam perlawanan tersebut, JDT berjaya menewaskan Kelantan 1-0 menerusi jaringan Fernando Andres Marquez.