Malaysia Berita

Kelantan tidak boleh terburu-buru guna pemain muda

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu mengekalkan pemain sedia ada dan pada masa yang sama tidak mengambil langkah terburu-buru untuk mengetengahkan pemain muda atau melepaskan pemain senior pada musim depan.

Bekas pemain Kelantan, Salim Mahmud berkata, The Red Warriors (TRW) tidak boleh mengulangi tindakan membuat rombakan besar-besaran beberapa bulan lalu yang akhirnya tidak memberi sebarang kesan yang positif.

Katanya, sesebuah pasukan perlu mengekalkan pemain sedia ada yang berpotensi untuk membantu menyesuaikan pemain baharu.

“Saya tidak nampak perancangan itu dilakukan ketika ini, sekarang sudah bulan Ogos jadi KAFA mempunyai masa lebih kurang tiga ke empat bulan lagi untuk merancang pemain pasukan musim depan.

“Musim baharu ini KAFA kena menitikberatkan soal pengambilan pemain dan tidak boleh terburu-buru membuat keputusan seperti melepaskan pemain sedia ada.

“Dalam pasukan perlu mengekalkan tiga atau empat pemain ataupun lebih yang berpotensi untuk beraksi dalam jangka panjang atau dua tiga musim mendatang.

“Mereka ini dapat membimbing pemain baharu dalam membantu membentuk keserasian pasukan kerana keserasian pasukan juga tidak boleh diharapkan daripada sentuhan ketua jurulatih sahaja, ia juga perlu datang daripada beberapa pemain yang sudah berpengalaman dengan pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Pada pertengahan tahun ini, Kelantan melepaskan sebahagian besar pemain yang beraksi pada musim lalu dan menggantikan posisi mereka dengan pemain baharu serta pemain Piala Presiden.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak kekal lama apabila KAFA turut melepaskan beberapa pemain yang baharu dibawa masuk serta pemain import selepas mempamerkan prestasi yang tidak memuaskan.

Tambah Salim, beliau juga berharap beberapa langkah yang diambil oleh pengurusan sebelum ini tidak diulangi bagi memastikan pasukan dapat mengharungi musim baharu di Liga Perdana dengan lebih baik.