Malaysia Berita

Penyokong bakar suar, JDT bakal dikenakan tindakan

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengemukakan laporan penuh kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai pembakaran suar yang dipercayai dilakukan oleh penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT).

Insiden berkenaan didakwa berlaku selepas aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia antara JDT dan Kelantan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Menurut MFL, tindakan lanjut akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“MFL menerima laporan daripada komisioner perlawanan bertugas bahawa berlaku pembakaran suar oleh penyokong JDT selepas perlawanan JDT menentang Kelantan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

“Pihak pengurusan MFL ingin mengingatkan semua penyokong untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MFL serta pihak berkuasa.

“Sebarang perlanggaran undang-undang terutama berkaitan keselamatan akan dilihat sebagai satu perlanggaran yang serius,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, JDT sekadar menang tipis Kelantan 1-0 hasil jaringan penalti Fernando Andres Marquez pada minit ke-65.

JDT berada pada kedudukan teratas Kumpulan C dengan mengumpul enam mata selepas empat perlawanan, sementara Kelantan di tempat ketiga dengan empat mata.