Malaysia Berita

Safawi, Akhyar layak main pasukan senior

Beberapa pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara boleh dianggap sudah layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan berada dalam kesebelasan utama.

Menurut B. Sathianathan, beliau menganggap pemain seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid berupaya untuk membangkitkan kembali prestasi pasukan kebangsaan.

Namun, Sathia menegaskan, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki seperti di bahagian pertahanan dalam menghadapi situasi satu lawan satu, aspek hantaran dan ketika membuat larian kepada pihak lawan.

Jelasnya, pengurusan skuad kebangsaan perlu mengambil serius pengajaran yang diperoleh daripada persembahan di Sukan Asia bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap.

“Apa yang realistiknya kita kena tahu kepincangan dan kelemahan yang dihadapi. Walaupun Jepun menurunkan skuad B-21, tapi pertahanan mereka tampak lebih kental dalam situasi satu lawan satu berbanding pemain kita.

“Kalau tanya saya, pemain seperti Safawi, Akhyar dan beberapa pemain lain memang layak berada dalam skuad senior. Tapi apa yang lebih penting adalah belajar daripada aksi di Sukan Asia untuk perbaiki kelemahan.

“Macam Jepun, saya boleh katakan mereka tak akan jadi juara sebab pemain mereka masih mentah. Tapi gaya permainan mereka nampak lebih baik.

“Berdasarkan pengajaran dan persembahan di Sukan Asia, kita boleh mempersiapkan pemain muda dalam skuad B-19, B-16 dan B-12 dengan cara yang betul.

“Kalau nak setanding Jepun dan Korea Selatan, kita kena betulkan kelemahan dengan memberi tunjuk ajar terhadap teknik yang baik dalam latihan,” katanya kepada Berita Harian.

Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe sebelum ini berhasrat untuk memanggil lebih ramai pemain muda bagi menghadapi kejohanan Piala AFF pada bulan November ini.

Malah, pemain seperti Safawi, Akhyar dan Irfan Zakaria sudah pernah dipanggil mewakili Harimau Malaya sebelum ini.