Malaysia Berita

Kualiti pemain muda Malaysia tidak jauh beza dengan pemain Jepun-Ong Kim Swee

Jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee percaya bahawa jurang bola sepak Malaysia dan Jepun tidak begitu ketara meskipun tewas 0-1 dalam pusingan 16 terbaik dalam Sukan Asia 2018.

Skuad muda negara hanya tewas menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan selepas banyak peluang dilepaskan begitu sahaja sepanjang 90 minit permainan.

Disebabkan itu, Kim Swee percaya barisan pemainnya telah beraksi dengan baik tetapi mengakui kegagalan menyudahkan peluang terhidang menjadi punca utama mereka tersingkir.

“Saya tidak boleh meminta pemain memberikan aksi yang lebih baik kerana mereka telah mencurahkan tenaga sepenuhnya di tengah padang sehingga membolehkan pasukan memberi kesukaran kepada Jepun hingga ke minit ke-85.

“Namun, beberapa kesilapan yang dilakukan selain kegagalan menyudahkan peluang terhidang menjadi punca pasukan tersingkir tetapi kita harus akui Jepun merupakan pasukan yang lebih baik meskipun mereka diwakili sepenuhnya oleh skuad B-21.

“Apa yang pasti, temasya kali ini membuktikan bahawa jurang skuad muda Malaysia dengan pasukan-pasukan kuat seperti Jepun dan Korea Selatan sudah tidak terlalu ketara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kim Swee juga enggan menyalahkan tonggak pertahanan Dominic Tan yang menjatuhkan Ayase Ueda dan memberikan sepakan penalti kepada Jepun untuk meraih gol kemenangan.

“Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pemain termasuk Dominic yang berada dalam situasi untuk menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi.

“Saya anggap dia antara pemain paling konsisten sepanjang temasya kali ini dan saya percaya dia akan menjadikan perkara tersebut sebagai iktibar untuk beraksi lebih cemerlang kerana dia masih muda dan memiliki masa depan yang cerah,” katanya.