Malaysia Kajian & Analisis

Selangor dan PKNS perlu belajar daripada penganjuran Piala Sultan Selangor

Piala Sultan Selangor 2018 yang berlangsung semalam berakhir dengan pasukan Pilihan Selangor menewaskan Pasukan Pilihan Singapura 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1.

Apa yang menakjubkan, seramai 40,000 orang penonton telah memenuhi Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan ini. Satu angka yang tidak dapat dicapai oleh Selangor atau PKNS dalam Liga Super atau Piala Malaysia pada musim ini.

40,000 orang. Mungkin itu boleh dikatakan jumlah terbesar penyokong yang turun ke Stadium Shah Alam pada tahun ini. Kenapa agaknya Selangor, atau PKNS sukar menarik jumlah penyokong seperti itu?

Ya, mungkin juga kerana Piala Sultan Selangor ini banyak tiket percuma. Siapa yang tidak suka tiket percuma. Tetapi di sebalik tiket percuma, ia juga memerlukan promosi yang bagus untuk orang tahu mengenai adanya tiket percuma.

Selain itu, adakah kerana Selangor menentang Singapura itu satu perlawanan yang begitu dinantikan? Kita tahu mengenai perseteruan Selangor dan Singapura suatu ketika dahulu, tetapi adakah ianya kekal hangat sehingga sekarang untuk tetap menarik orang turun ke stadium?

Penganjuran Piala Sultan Selangor ini perlu menjadi teladan atau dikaji oleh pihak pengurusan Selangor dan PKNS. Mereka perlu melihat kembali bagaimana mahu memenuhkan Stadium Shah Alam. Jika tidak musim ini, mungkin musim depan.

Selangor terutamanya tidak boleh sekadar berpuas hati dapat kembali ke gelanggang keramat mereka. Mereka perlu mula berfikir bagaimana mahu memenuhkan stadium kedua terbesar di Malaysia ini. Satu masalah apabila beraksi di stadium yang berkapasiti 80,000 ini adalah jika ia tidak dapat dipenuhi sekurang-kurangnya 50%, ianya akan menjadi satu gelanggang yang sunyi.

Adakah Selangor dan PKNS akan belajar dari penganjuran Piala Sultan Selangor? Kita tunggu musim hadapan.