Berita Malaysia

Pestabola Merdeka akan dianjurkan semula?

Pestabola Merdeka akan kembali?

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menyokong jika ada cadangan untuk Pesta Bola Merdeka akan dianjurkan semula oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut laporan Berita Harian, Datuk Ong Kim Swee menyatakan sokongan kepada pengajuran semula kejohanan itu tetapi FAM perlu menilai terlebih dahulu jika skuad senior atau skuad bawah 23 tahun yang menyertainya.

“Sudah tentu saya menyokong Pestabola Merdeka dianjurkan semula di mana ia satu piala yang berprestij dan unik terutama di Asia.

“Malah, jika kita pergi ke Jepun dan Korea Selatan, mereka masih lagi bercakap mengenai Pestabola Merdeka kerana kejohanan itu yang mereka tahu mengenai Malaysia.”

Jika FAM benar-benar mahu menganjurkan semula Pestabola Merdeka yang kali terakhir dianjurkan pada 2013, mungkin Malaysia wajar menghantar dua pasukan tetapi bukan skuad senior.

Malaysia boleh meletakkan skuad bawah 23 tahun dan skuad bawah 19 tahun untuk beraksi dalam kejohanan itu.

Satu lagi perkara yang wajar diambil kira oleh FAM jika mahu menganjurkan kejohanan itu adalah tarikh yang sesuai. Tarikh kejohanan perlu sesuai dengan Malaysia dan juga negara lain yang akan bertanding supaya kita dapat menarik minat negara-negara yang kuat dan bukan sekadar pelengkap.

Suatu ketika dahulu negara-negara seperti Uzbekistan, Jepun, Korea Selatan, Maghribi, Algeria dan Czechoslovakia menyertai Pesta Bola Merdeka.

Mungkin juga FAM boleh menjemput negara-negara bertanding menghantar skuad bawah 23 tahun mereka kerana pastinya mereka juga mahu pemain mereka mendapat pendedahan di pentas antarabangsa.