Piala Malaysia Kolum

Piala Malaysia: Tiada pasukan Lembah Klang ke suku akhir?

Nasib sama menimpa skuad Lembah Klang dalam saingan Piala Malaysia minggu ini.

Selangor tewas mengejut 1-2 kepada Sabah sementara Kuala Lumpur terus dihantui badi Perak apabila disodok 0-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Adakah tiada langsung pasukan Lembah Klang akan mara ke pusingan suku akhir musim ini?

Melihat kepada baki perlawanan Selangor dan Kuala Lumpur, ada kemungkinan itu boleh berlaku. Baki tiga perlawanan Kuala Lumpur, dua daripadanya mereka akan bertandang ke Kuala Terengganu dan Ipoh. Satu lagi perlawanan adalah bertemu Felcra FC di Cheras yang mereka tewaskan dalam perlawanan kedua yang lalu.

Kuala Lumpur musim ini sememangnya banyak mengharapkan prestasi baik di laman sendiri. Namun, dalam saingan Piala Malaysia sahaja, mereka sudah tewas dua perlawanan di Cheras. Ditambah dengan ketiadaan Irfan Zakaria dan Syazwan Andik serta Fabio Maciel yang ‘direhatkan’, mungkin sekali lagi Kuala Lumpur akan kempunan ke suku akhir Piala Malaysia.

Bagi juara 33 kali Piala Malaysia pula, prestasi mereka mungkin boleh dikatakan lebih teruk daripada Kuala Lumpur. Mereka tewas kesemua perlawanan mereka setakat ini. Red Giants tewas 0-3 kepada PKNP dan 0-2 kepada Pahang di Shah Alam dan terbaru dikejutkan pasukan Liga Premier, Sabah 1-2 di Likas.

Sama seperti Kuala Lumpur, Selangor juga terjejas dengan ketiadaan pemain mereka yang beraksi di Sukan Asia. Ketiadaan Syahmi Safari, Evan Dimas dan Ilham Udin nampaknya turut menyebabkan prestasi Selangor merudum.

Ada baki tiga lagi perlawanan untuk kedua-dua pasukan Lembah Klang ini menyelamatkan diri mereka. Mereka tidak lagi boleh tewas walau satu perlawanan pun selepas ini. Jika tidak, mereka boleh lupakan saingan Piala Malaysia musim ini.

Namun, bagi penyokong kedua-dua pasukan, pastinya mereka mahu pasukan mereka mara ke pusingan seterusnya. Dalam sejarah Piala Malaysia, kita masih belum melihat aksi final derby Lembah Klang, adakah kita akan terus kempunan? Atau dua pasukan ini akan bangkit dalam tiga perlawanan seterusnya?