Malaysia Asia Tenggara

Malaysia akan jumpa Keisuke Honda di Piala AFF Suzuki

Masih segar dalam ingatan kita melihat Keisuke Honda beraksi untuk Jepun di Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Russia yang lalu.

Nampaknya kita akan dapat melihat skuad negara menentang Keisuke Honda pada bulan Disember nanti. Bukan Malaysia akan beraksi menentang Jepun, tetapi kita akan menentang Kemboja yang dibimbing oleh Keisuke Honda!

Persatuan Bolasepak Kemboja baru-baru ini mengumumkan kehadiran bintang Jepun itu yang baru sahaja menyertai Melbourne Victory sebagai pengurus baru pasukan Kemboja.

Menurut laporan media Kemboja, Honda telah menawarkan diri untuk melatih pasukan Kemboja dan akan membahagikan masanya sebagai pemain Melbourne Victory dan melatih Kemboja.

Honda yang berusia 32 tahun dikhabarkan akan mengendalikan mesyuarat pasukan menerusi ‘video conference’ selepas selesai beraksi dengan Victory.

Keisuke Honda memulakan kerjayanya sebagai pemain dengan pasukan Nagoya Grampus sebelum berhijrah ke Eropah di mana dia beraksi dengan pasukan seperti VVV-Venlo, CSKA Moscow dan AC Milan. Selepas kontraknya tamat bersama Milan, dia beraksi di Mexico bersama Pachuca sebelum akhirnya berpindah ke Melbourne Victory.

Kemboja di bawah kendalian Honda diletakkan dalam Kumpulan A bersama Malaysia, Vietnam, Myanmar dan Laos.