Asia Tenggara

Skuad bawah 16 tahun bakal bertemu Indonesia, perlu tewaskan Laos terlebih dahulu

Skuad bawah 16 tahun negara berkemungkinan besar bakal berdepan tuan rumah, Indonesia pada aksi separuh akhir Piala AFF Bawah 16 tahun di Surabaya nanti.

Skuad muda negara mudah menewaskan Singapura 4-0 semalam di Stadium Joko Samudro. Namun, disebabkan keputusan seri di antara Thailand dan Laos, Malaysia perlu menumpaskan Laos jika mahu mengiringi Thailand ke separuh akhir.

Skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib perlu menang ke atas Laos selepas pasukannya tewas perlawanan pertama mereka menentang Thailand. Laos pula sekadar memerlukan satu mata untuk mengatasi Malaysia dan mara ke separuh akhir.

Jika Malaysia berjaya ke separuh akhir, misi getir buat skuad muda negara kerana perlu berdepan tuan rumah, Indonesia dalam perlawanan yang pastinya menjadi tumpuan dan pastinya ‘panas’.

Selepas insiden yang berlaku melibatkan pemain muda negara sebelum kejohanan bermula, pastinya pertembungan di antara Indonesia dan Malaysia ini boleh menjadi lebih tegang berbanding ketika perlawanan Piala AFF bawah 19 tahun bulan lalu.

Namun, sebelum kita memikirkan pertemuan dengan Indonesia, skuad bawah 16 tahun negara wajib tumpaskan Laos terlebih dahulu. Selamat berjaya Malaysia!