Piala Malaysia Berita

Piala Malaysia: Pasukan Liga Premier cipta kejutan di minggu pertama

Saingan Piala Malaysia 2018 yang bermula Sabtu lalu nampaknya penuh kejutan. Kita mungkin sudah biasa melihat pasukan-pasukan gergasi Liga Super mendominasi saingan Piala Malaysia, tetapi nampaknya ia sedikit berbeza dalam minggu pertama perlawanan.

Untuk minggu pertama ini, nampaknya hampir semua pasukan dari Liga Premier telah mengejutkan ramai pihak. Bagi saingan Piala Malaysia, wakil-wakil daripada Liga Premier adalah Felda United, Felcra FC, Sabah, MIFA dan PDRM.

Pasukan seperti Felda United pastinya tidaklah boleh dikatakan lemah dengan ramai pemain mereka memang berkualiti dan layak beraksi di Liga Super. Mereka telah mengikat Melaka United 0-0 di Stadium Tun Abdul Razak.

Sabah dan Felcra pula cukup cemerlang apabila berjaya mengikat dua pasukan gergasi Liga Super, Pahang dan Perak yang beraksi di hadapan penyokong mereka sendiri. Sabah terikat 1-1 dengan Pahang di Stadium Darul Makmur sementara Felcra berjaya menghalang jentera serangan Perak daripada membolosi gawang mereka di Ipoh.

Namun, yang paling menakjubkan pastinya MIFA yang mengejutkan juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’azim (JDT) 2-1 di Larkin. MIFA menjadi pasukan ketiga menewaskan JDT musim ini dan pasukan kedua menumbangkan JDT di Larkin selepas Pahang melakukannya dalam saingan Piala FA.

Satu lagi wakil Liga Premier, PDRM tidak berjaya menyamai pencapaian pasukan lain apabila tewas 2-5 kepada PKNS walaupun berjaya mengikat mereka 1-1 pada 45 minit pertama.

Siapa kata Piala Malaysia membosankan? Melihat aksi pasukan-pasukan Liga Premier ini, anda akan rugi jika tidak turun menyokong pasukan kesayangan anda dalam Piala Malaysia. Tunggu apa lagi? Ayuh turun stadium!