Malaysia Berita

Malaysia B-16 tewas kepada India, Teong Kim salahkan kesilapan pemain

Agak mengejutkan apabila pasukan kebangsaan bawah 16 (B-16) negara dibawah jurulatih Lim Teong Kim dimalukan oleh India 1-2 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Malah skuad yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sejak empat tahun lalu itu kerap bermain menggunakan taktik hantaran jauh, berbeza daripada falsafah bola sepak moden yang diterapkan NFDP sebelum ini.

Ini adalah satu perkara yang membimbangkan kerana sasaran Teong Kim adalah untuk membawa pasukan layak ke Piala Dunia B-17 tahun depan dan hanya tinggal dua bulan sahaja lagi sebelum bermulanya Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 di Kuala Lumpur, September ini yang akan menentukan sama ada mereka layak untuk beraksi di Piala Dunia.

Sebelum ini mereka tewas dua kali kepada Korea Selatan B-16 dengan keputusan 2-0 dan 4-0 dan kali ini pula kepada India selepas dua kali bolos dalam masa setengah jam sahaja pada separuh masa pertama dan mengambil masa sehingga hampir tamat perlawanan untuk mendapatkan gol saguhati.

Teong Kim sepatutnya sudah memiliki barisan terbaik bagi menghadapi saingan Piala AFC, namun bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu masih lagi menguji beberapa muka baharu dalam pasukannya.

Malah, beliau mengesahkan tidak akan menghantar skuad utama ke Kejohanan AFF B-16 di Indonesia bermula Ahad ini sebaliknya pasukan kedua akan mengambil tempat dalam kejohanan tersebut.

Kata Teong Kim, beliau enggan melihat anak buahnya kepenatan.

Namun skuad kendalian S. Balachandran pada tahun 2014 juga berhadapan dengan Piala AFF dan menjadi juara ketika itu sebelum gagal melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 apabila sekadar tewas tipis 2-1 kepada Australia di suku akhir Kejohanan AFC di Bangkok, Thailand.

Seharusnya Piala AFF B-16 boleh dijadikan pentas buat Teong Kim untuk memperbaiki dan memantapkan pasukannya.

Namun katanya, kesilapan mudah masih lagi menghantui pasukan terutamanya di benteng pertahanan.

“Pemain tidak bersungguh-sungguh untuk menahan asakan lawan. Selepas kita lepas satu gol, pemain takut memegang bola.

“Ini masalah pemain kita. Saya sudah banyak kali mengingatkan, supaya tidak putus asa walaupun ketinggalan. Kalau lawan bermain dengan kasar, kita pun perlu bermain macam itu,” katanya kepada Berita Harian.

Saingan Piala AFC dijadualkan berlangsung pada 20 September ini yang mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun, Thailand dan Tajikistan.