Luar Negara Eropah

Xherdan Shaqiri teruja dapat beraksi dengan Salah

Liverpool hari ini mengumumkan Xherdan Shaqiri telah menandatangani kontrak lima tahun bersama The Reds dengan yuran perpindahan bernilai 13.5 juta pound.

Selepas melengkapkan perpindahan daripada Stoke City, Shaqiri tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemain utama Liverpool iaitu Mohamed Salah.

Shaqiri mengetahui mengenai Salah kerana mereka pernah beraksi untuk kelab yang sama iaitu FC Basel walaupun mereka tidak sempat bermain bersama di kelab tersebut.

Salah hanya menyertai Basel selepas Shaqiri berpindah ke Bayern Munich tetapi kini mereka berdua akan bersaing untuk merebut posisi dalam kesebelasan utama.

“Saya tidak begitu mengenalinya tetapi beliau telah berlatih dan menjalani ujian ketika saya bersama Basel,” kata Shaqiri.

“Beliau telah berlatih bersama saya dua hingga tiga minggu sebelum saya menyertai Bayern Munich.

“Saya sangat gembira dapat bergandingan bersama Salah. Beliau menghadapi musim yang cemerlang sebelum ini dan saya berharap dapat melakukannya juga tahun ini,” katanya.

Shaqiri pernah menjuarai Liga Super Switzerland bersama Basel, memenangi Liga Juara-Juara Eropah ketika bersama Bayern Munich, sebelum berkelana ke Inter Milan dan Stoke City.

Kali ini, Shaqiri meletakkan sasaran untuk meraih lebih banyak gelaran di bawah kendalian Jurgen Klopp.

“Saya mahu memenangi lebih banyak gelaran, itu sasaran saya. Saya mengetahui cara untuk menang ketika bersama Bayern,” katanya.