Luar Negara Eropah

Baru berpindah ke Juventus, €55 juta euro jersi Cristiano Ronaldo terjual

Meskipun Cristiano Ronaldo masih belum diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Juventus, sebanyak €55 juta euro jersi pemain telahpun terjual dalam kalangan peminat bola sepak, laku habis di pasaran.

Juventus menandatangani kontrak bersama pemain Portugal itu dengan yuran perpindahan bernilai €105 juta euro dari Real Madrid dan akan berada di Turin selama empat tahun dengan gaji bernilai €30 juta euro setahun.

Nilai perpindahan yang begitu besar serta gaji yang begitu banyak sudah tentu menimbulkan kebimbangan sama ada kelab gergasi Itali itu mampu stabil dari segi kewangan.

Namun menurut Yahoo Sport Italy, dalam masa 24 jam sahaja, sebanyak 520,000 jersi milik Ronaldo terjual sama ada menerusi dalam talian mahupun dibeli secara tunai.

Kalau dilihat secara kasar, mungkin jualan jersi itu tidak banyak tetapi apabila jersi Adidas itu berharga €105 euro, sudah tentu Juventus mendapat pulangan yang begitu banyak.

Malah sejak perpindahan Cristiano Ronaldo diumumkan, kesemua media sosial Juventus menerima jumlah pengikut yang banyak iaitu sebanyak 1.4 juta bilangan pengikut meningkat di Instagram, 1.1 juta pengikut juga meningkat di Twitter serta 500,000 pengikut di Facebook.

Kalau diikutkan, perpindahan Cristiano Ronaldo ke Juventus bukanlah satu perkara yang buruk sebaliknya perpindahan tersebut memberi satu nafas baharu dan seolah-olah mengembalikan semula zaman kegemilangan Serie A.

Satu ketika dahulu, Serie A sering menjadi tumpuan apabila kelab-kelabnya menandatangani pemain terkemuka dengan nilai yuran perpindahan yang tinggi.

Contohnya, Hernan Crespo yang berpindah dari Parma ke Lazio dengan nilai hampir 60 juta euro dan Gianluigi Buffon yang berpindah ke Juventus dengan nilai melebihi 50 juta euro.

Malah, tidak ketinggalan Christian Vieri yang berpindah dari Lazio ke Inter dengan nilai hampir 50 juta euro.

Perpindahan pemain terkemuka dunia sebenarnya adalah sesuatu yang baik untuk Serie A dan perkara ini diakui sendiri oleh jurulatih Inter, Luciano Spalletti.

Namun baginya, perpindahan Ronaldo tidak bermakna Inter tidak mampu menjuarai Serie A.

“Beliau akan melonjakkan saingan Serie A ke mata dunia,” kata Spalletti.

“Sasaran kami adalah mengejar pasukan terbaik. Kami mahu bersaing dengan barisan yang terkuat.

“Kami berasakan Serie A seperti memiliki tarikan yang istimewa. Pemain-pemain hebat berminat untuk menyertai kelab Itali dan ia adalah sesuatu yang membanggakan,” katanya.