Luar Negara Piala Dunia 2018

Uruguay mengajar saya erti bola sepak, kata Antoine Griezmann

Antoine Griezmann mendedahkan bahawa dia tidak meraikan jaringannya ketika menewaskan Uruguay 2-0 pada aksi suku akhir Piala Dunia kerana pasukan dari Amerika Selatan itu memberikan makna yang besar kepadanya sepanjang kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

Griezmann meledak gol kedua Perancis pada minit ke-61 dalam kemenangan 2-0 itu, apabila rembatannya dari luar kotak penalti tepat ke arah Fernando Muslera, namun penjaga gol itu gagal menyelamatkannya sebaliknya bola itu melompat ke gawangnya sendiri.

Ketika rakan sepasukan mengerumuninya untuk meraikan jaringan, Griezmann hanya berdiri kaku walaupun gol berkenaan mengesahkan kemaraan Perancis ke separuh akhir Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

“Saya tidak meraikan jaringan kerana ketika saya bermula sebagai pemain profesional, saya diberi sokongan oleh pemain Uruguay, yang mengajar saya baik dan buruk dalam bola sepak,” kata Griezmann.

“Atas rasa hormat, saya rasa tidak wajar untuk saya meraikan gol berkenaan.”

Sebelum perlawanan itu, Griezmann juga menceritakan tentang hubungan rapatnya dengan Uruguay dan persahabatan yang terjalin dengan dua pemain negara itu, Jose Gimenez dan Diego Godin sejak berpindah ke Athletico Madrid dari Real Sociedad beberapa tahun lalu.

Griezmann bergandingan dengan Gimenez dan Godin di Atletico Madrid, malah memakai baju Uruguay di lapangan terbang ketika menyambut rakan sepasukannya itu apabila mereka layak ke Rusia. – AFP