Piala Dunia 2018 Luar Negara

Tribe Peribahasa: Jerman 0-1 Mexico

“Ada sampan, hendak berenang”

Dua perkara. Leroy Sane dan corak pemainan yang menggunakan bahagian sayap. Malam semalam, tekanan yang diberikan oleh pasukan Mexico ke atas skuad Jerman tidak boleh dinafikan. Namun, setiap skuad Joachim Low yang pernah kita lihat semenjak 10 tahun lepas, sering bijak mencari jalan dan pandai bermain mengikut kekuatan yang dimiliki.

Pasukan Jerman ini memiliki penyerang yang cukup mantap seperti Timo Werner, namun malam semalam, apabila ditekan dengan agresif, Jerman terus bertukar dan mula bermain menggunakan bahagian sayap. Pemain-pemain seperti Draxler, mula melancarkan hantaran jauh dari bahagian sayap, walaupun sedar bahawa Timo Werner bukanlah seorang target man yang efektif seperti Mario Gomez. Beliau seorang penyerang moden yang lebih efektif jika menerima bola dari bahagian tengah.

Namun, mungkin kita boleh menerima bahawa tekanan Mexico cukup hebat sehingga Jerman tidak mempunyai sebarang alternatif untuk mencari jalan di bahagian tengah. Bermain di sayap bukanlah suatu perkara yang teruk, cuma Draxler tidak begitu cemerlang dalam menggunakan ruang di bahagian sayap.

Cuba bayangkan jika Low mampu membawa masuk Leroy Sane untuk bermain di posisi tersebut? Bintang Man City itu mencipta nama di EPL sebagai antara pemain sayap yang paling bijak menggunakan bahagian sayap, dan pandai mencari jalan untuk masuk ke kotak penalti dari sudut tersebut. Tetapi Low tidak mempunyai pilihan tersebut kerana Sane tidak dibawa ke Rusia.

Hakikatnya adalah, skuad Jerman ini memiliki sampan untuk meredah Sungai Mexico. Namun sampan tersebut ditinggalkan di rumah, sekaligus memaksa mereka untuk berenang merentasi Sungai Mexico, sebelum akhirnya ditenggelamkan oleh Hirving Lozano.